Selasa, 8 Disember 2009

TAHUKAH ANDA

  • Kerajaan amat mementingkan Bahasa Arab dan menggalakkan rakyat mempelajari Bahasa Arab? Sekarang setiap murid-murid sekolah rendah diwajibkan mempelajari Bahasa Arab. Maka sudah sampai masanya anda mempelajari Bahasa Arab untuk kegunaan sendiri dan kemudian boleh mengajarkannya kepada anak-anak anda .


  • Hanya pelajar-pelajar yang menguasai Bahasa Arab sahaja yang dipilih oleh kerajaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri! Inilah waktunya anda memperkukuhkan pengetahuan dan mempertingkatkan penguasaan serta kefahaman anda terhadap Bahasa Arab.

  • Bahasa Kedua terbesar penggunaannya di dunia ialah Bahasa Arab? Pengetahuan tentang Bahasa Arab kini amat penting, selain penggunaanya yang global, ia juga merupakan sumber maklumat utama selain Bahasa Inggeris. Banyak sumber-sumber maklumat yang diperolehi sekarang ini didapati daripada sumber satelit terkenal berbahasa Arab iaitu Al-Jazeera.

  • Al-Quran diturunkan di dalam Bahasa Arab? Kerana ia adalah Bahasa Mukjizat dan bahasa pertuturan nabi junjungan kita Muhammad (SAW). Pengetahuan Bahasa Arab amat penting untuk mengetahui isi kandungan Al-Quran dan doa-doa yang sering kita baca setiap hari. Bahkan ia merupakan fardu kifayah ke atas semua umat islam.

  • Perkataan-perkataan yang dibaca di dalam solat juga adalah di dalam Bahasa Arab? Oleh sebab itu, perlu untuk setiap umat islam mengetahui makna setiap perkataan yang disebutkan di dalam solat, untuk menjadikan solat kita lebih khusyuk!

Bahasa Arab Melalui Al-Kitab

Penggunaan al-Quran untuk tujuan mengajar ilmu bahasa Arab terutama nahu (grammar) itu sendiri telah mendapat perhatian yang utama oleh para nuhat (ahli-ahli nahu) sejak zaman berzaman. Bermula daripada Abu Aswad al-Duali yang telah menyahut seruan saidina Ali K.W dalam meletakkan asas ilmu nahu setelah beliau mendengar adanya lahn (kesalahan daripada segi nahu) dalam pembacaan al-Quran.

Sibaweih (180H) dalam bukunya ‘al-Kitab’ juga menggunakan dalil ayat-ayat al-Quran sebagai bukti kepada kaedah-kaedah nahu. Penggunaan dalil daripada ayat-ayat al-Quran untuk membuktikan ketepatan kaedah nahu dipanggil dengan istilah “syahid al-quran”. Syahid al-quran yang pertama digunakan oleh Sibawieh di dalam kitabnya adalah ketika membincangkan tentang kalimah iaitu tajuk pertama tentang ilmu nahu.

Sekiranya dilihat pula Ibnu Hisham (761H) maka beliau juga menggunakan syahid al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu bahasa Arab. Di dalam bukunya “syarh qatr al-nada wa bal al-sada” penggunaanya (syahid al-quran) yang pertama adalah dalam bab al-kalimah apabila beliau membawa ayat al-quran sebagai dalil kepada jumlah mufidah.

Begitu juga Ibnu ‘Aqil (769H) yang juga tidak ketinggalan dalam menggunakan syahid al-Quran ini di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu. Syahid al-Quran yang pertama di dalam kitabnya “syarh ibn ‘Aqil” ialah apabila beliau memperkatakan juga tentang al-kalam (iaitu al-kalimah).

Jikalau ada pihak yang mengatakan Ibnu Hisham dan Ibnu ‘Aqil kedua-duanya adalah “syarih” (orang yang melakukan huraian) kepada matan Ibnu Malik (alfiah) yang bersifat “nazam atau syair” maka sepatutnya lah mereka menggunakan al-Quran, maka kita lihat pula kepada ulama-ulama nahu yang melakukan huraian kepada matan al-ajrumiyah (bukan syair) yang juga menggunakan syahid al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu.

Kita ambil contoh al-Syeikh muhammad Ab al-Bariy (1298H) yang telah menulis nota tentang matan bekenaan menggunakan syahid al-Quran pada permulaan bab nahu lagi iaitu bab al-ikrab dan al-bina’ manakala al-syarih bagi matan al-ajrumiyyah pula iaitu al-Syiekh muhammad al-Ra’aini menggunakan syahid al-Quran, dan syahidnya yang pertama datang dari bab al-kalam.

Sekiranya kita perhatikan ulama-ulama nahu terdahulu, mereka sangat berpegang teguh dengan al-quran di dalam pengajaran mereka tentang kaedah-kaedah nahu. Sehinggakan pada permulaan bab lagi mereka telah menggunakan al-Quran sebagai bukti atau dalil ketepatan kaedah yang dibawa.

Tetapi apabila kita merujuk kepada kitab-kitab pengajaran nahu yang ditulis oleh ulama-ulama kini, maka kita dapati sebahagian daripada mereka menggunakan al-quran dan sebahagian yang lain pula tidak menggunakan al-quran langsung di dalam menerangkan kaedah-kaedah nahu.

Di antara kitab-kitab nahu yang masih menggunakan al-quran sebagai bukti ketepatan kaedah nahu adalah seperti kitab ‘jami al-durus’ yang dikarang oleh al-Ghalayini (1912), kitab ‘al-tatbiq al-nahwi’ karangan Dr. Abduh al-Rajihi (1988), dan juga kitab terbaru yang mengemukakan huraian (syarh) kepada matan al-ajrumiyyah yang telah dilakukan oleh Muhammad Mahyu al-Din Ab Hamid yang dinamakan dengan ‘al-tuhfatu al-saniyyah’ juga tidak ketinggalan menggunakan syahid al-quran sebagai hujjah membuktikan ketepatan nahu bahasa Arab.

Manakala kitab-kitab yang tidak menggunakan syahid al-quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu adalah seperti kitab ‘al-nahwu al-wadhih’ tidak menggunakan syahid al-quran pada kedua-dua jilid (untuk marhalah ibtidaiyah dan thanawiyyah). Begitu juga buku-buku ringkasan nahu bahasa Arab yang digunakan di sekolah-sekolah juga tidak menggunakan syahid al-Quran ini.

Kesimpulan daripada kajian yang sedikit ini (jika boleh dikatakan) bahawa terdapat kaitan yang jelas di antara menggunakan syahid al-quran dalam kaedah pengajaran bahasa Arab dengan penguasaan ilmu bahasa Arab itu sendiri dalam kalangan pelajar-pelajar. Maksudnya, kemungkinan kesukaran pelajar-pelajar dan kelemahan mereka menguasai ilmu bahasa Arab kerana mereka kini telah jauh daripada al-Quran itu sendiri yang mana suatu ketika dahulu didekatkan oleh guru mereka melalui kaedah penggunaan syahid al-Quran.

Hal ini demikian kerana kaitan al-quran itu sendiri dengan bahasa Arab adalah diibaratkan seperti isi dengan kuku. Tidak sempurnalah jari yang tidak mempunyai kuku tetapi hanya ada isinya sahaja dan begitulah sebaliknya.

Jadi usaha untuk memantapkan kembali penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar adalah dengan mengembalikan mereka kepada kaedah sebagaimana yang diasaskan oleh ulama terdahulu, di antaranya adalah menggunakan al-Quran di dalam pengajaran nahu bahasa Arab itu sendiri.

Sesungguhnya mukjizat al-quran yang maha suci itu memungkinkan pelajar mudah faham tentang kaedah-kaedah nahu yang nampak seakan-akan terlalu susah kini. Mudah-mudahan usaha mengembalikan al-quran bersama kaedah pengajaran nahu akan memantapkan kembali penguasaan nahu dan bahasa Arab itu sendiri.

Ahad, 22 November 2009

Putih Itu Kotor??

kehidupan kita sentiasa diuji dengan pelbagai rintangan dan tribolasi.semakin hari semakin kuat ujian datang..namun,ingatlah bahawa semuanya untuk mengukur tahap keimanan dan keakraban kita pada Pencipta langit dan bumi ini..
aku mesti kuat..kawan aku pernah bagi nasihat, "sekali tempuh kena teruskan"..
biasanya putih dianggap yang terbersih dan hitam yang terkotor..
tapi kadang-kadang putih itu menjadi kotor dan hitam itu menjadi bersih..
seluar yang hitam akan dikatakan kotor sekiranya debu-debu putih singgah diseluar tersebut.begitulah sebaliknya..
putih dianggap kebaikan dan hitam dianggap keburukan..
tidak semua kebaikan yang diimpikan menjadi sirna didalam kehidupan,bahkan bakal menjadi corak 'serabai' dalam halaman yang indah...hal ini sudah dijelaskan didalam Kitab Suci Al-Quran yang mulia bahawa 'jangan sangka apa yang kamu suka menjadi kebaikan padamu' (lebih kurang camtula)
semua manusia inginkan kebaikan,bahkan yang terbaik untuk diri kita..
ujian inilah yang memerlukan pertautan yang utuh dengan Allah SWT..
insyallah,dengan petunjuk yang deberi-Nya,akan membantu kearah yang terbaik...amin

Isnin, 16 November 2009

ujian

" Jangan tertarik kepada seseorang kerana parasnya, sebab keelokan paras dapat menyesatkan. Jangan pula tertarik kepada kekayaannya kerana kekayaan dapat musnah. Tertariklah kepada seseorang yang dapat membuatmu tersenyum, kerana hanya senyum yang dapat membuat hari-hari yang gelap menjadi cerah."

Khamis, 12 November 2009

bErDiAlOg BeRsAmA pEnCiPtA

Setiap hari, setiap saat dan waktu, kita sentiasa berdialog antara kawan dan teman, ibu bapa dan keluarga, guru dan murid, dimanapun kita bersua muka, di pasar sekalipun, kita pasti berdialog sesama kita tanpa teks, bahkan lancar seperti air yang mencelah batu-batu di sungai.

Pelbagai loghat yang kita dengar, sehinggakan ada sepatah dua yang tidak difahami sekalipun sesama bangsa. Bahkan berbilang istilah bagi satu maksud, seperti perkataan (saya) ada yang menyebutnya aku, koi, kawe, keh, teman, cek, banyak lagi..
Namun kali ini ana ingin bawa teman-teman semua untuk menyelami maksud tajuk kali ini, Berdialog Bersama Pencipta. Sama-sama kita selami, terokai, dan hayati apakah yang dikatakan berdialog bersama pencipta itu. Bahkan sewaktu kita membonceng dan memandu kereta atau apa-apa kenderaan sekalipun masih ada ruang bagi kita untuk berdialog atau berinteraksi dengan Yang Maha Pencipta.

Pernahkah kita terfikir cara dan bagaimana untuk bercakap dengan Allah swt dimana jua kita berada? Pernahkah hati kita terlintas untuk mendapatkan ganjaran pahala melalui perbualan? Pernahkah terdetik dalam lubuk sanubari hati kita untuk bersoal jawab dengan Allah SWT? Pernahkah?? Pernahkah??dan pernahkah kita fikir semua itu??

Pertamanya samalah kita mengangkat tangan dengan hati yang lapang kerana memberi peluang melalui satu cara untuk berdialog bersama-Nya iaitu SOLAT, (Sembahyang, Pray,) solat merupakan jalan yang dianugerahkan kepada hamba-Nya untuk berkomunikasi bersama Pencipta, dan tindak tanduk ini diajar oleh Nabi SAW melalui wahyu yang diterimanya kerana Nabi tidak akan bercakap tanpa tunjuk ajar dari Tuhan Yang Maha Pemurah (Allah SWT).

Bagaimana Solat diajadikan tempat berkomunikasi atau berdialog bersama Dia????

Bersambung……….

Rabu, 28 Oktober 2009

ISTANA BALQIS...


“Hai pembesar-pembesar siapakah diantara kamu sekelian sanggup membawa singgahsananya kepada ku sebelum mereka datang kepada ku sebagai orang-orang yang berserah diri.”


“Berkata Ifrit (yang cerdik) itu dari golongan jin, aku akan datang kepada ku dengan membawa singgahsana itu kepada mu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercayai. Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab; “Aku akan membawa singgahsana itu kepada mu sebelum matamu berkedip.”


“Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, ia pun berkata; “Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk menguji aku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya) . Dan barang siapa bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” (An-Namli, ayat 38-40)


Di bumi Yaman, terdapat sebuah tempat yang terkenal kisahnya tetapi ramai yang masih tidak tahu tempat letaknya istana ini. demikianlah kisah istana balqis yang dirakamkan Allah SWT dalam Al-Quran.



Jumaat, 2 Oktober 2009

mantop


Buat baik berpada pada
Takut ada terhutang budi
Walau senyum suatu pahala
Jangan sampai di salah erti

Melompat riang si anak kancil
Kancil terjerat helah sendiri
Sabar dan ikhlas membuah hasil
Hasil di kutip di akhirat nanti

Harum sekuntum mekar sejambak
Taman raudhah berpagar iman
Limpahan hidayah tercurah melambak
Malang sedikit membekas berkesan

Manusia bercakap beo meniru
Cakap manusia berakal perasaan
Bertasbih bertahmid biar beribu
Belum tentu berkesampaian

Si tukang kasut membuat perabut
Si penggali kubur menjadi bidan
Adzan berkumandang tiada bersahut
Ruhul kudus menangis keseduan

Menggali lubang menimbus lubang
Hamba fakir beraksi kaya
Hutang menimbun keliling pinggang
Batu permata bercampur serpihan kaca

Apa bergelora di lautan samudra
Jika tidak arus dan gelombang
Setiap niat gerak tutur kata
Kehadirat sang adil di hitung timbang

Penjejak Awan Pencetus Evolusi

sekadar hiasan

dimana bumi dipijak...
disitulah Islam dijunjung..
dimana awan terlihat...
disitulah PENJEJAK AWAN meraung...

Sultan Muhammad Al-Fateh

HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE
Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam telah berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyah.
Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”.
Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw. Akhirnya,dadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya. Siapakah Sultan Muhammad Al Fateh? Apakah kehebatan beliau dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki - Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople. Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 - 1481).
Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun. PENDIDIKAN Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulama dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan. Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit.
Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti. Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh. Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera.
Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka. Bantuan Dari Pope Vatican Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyah.Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniyah.
Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt. Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya,“Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”. Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar. Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fateh” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu. Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam hadisnya itu.